|
Sarawak bebas penyakit kuku dan mulut, miliki
kawasan luas untuk wujudkan ladang menternak biri-biri
KUCHING:
Sarawak berpotensi besar untuk menjadi pengeluar utama daging kambing
dan lembu negara sekiranya semua pihak berganding sama memajukan sektor
berkenaan, berikutan negeri itu mempunyai kelebihan tersendiri.
Dengan kawasan yang luas untuk mengembangkan sektor berkenaan, selain
pengiktirafan antarabangsa Sarawak bebas penyakit kuku dan mulut yang
sering menyerang ternakan lembu di Semenanjung, potensi untuk negeri ini
menjadi pengeluar utama hasil ternakan amat cerah, cuma perlukan
komitmen kerajaan dan penternak untuk merealisasikan impian berkenaan.
Walaupun Sarawak mempunyai kawasan yang luas, tidak ramai penduduknya
menternak kambing, dianggarkan hanya ada 10,000 kambing di negeri yang
mempunyai 2.7 juta penduduk menyebabkan negeri itu terpaksa mengimport
daging kambing untuk memenuhi permintaan tempatan dengan nilai import
RM7.5 juta setiap tahun.
Statistik Jabatan Pertanian Sarawak menunjukkan kadar pengambilan daging
kambing di kalangan penduduk Sarawak ialah 600,000 kilogram daging atau
30,000 ekor kambing setahun sedangkan anggaran saiz populasi semasa
ternakan itu hanya 10,000 ekor.
Kelebihan utama Sarawak berbanding negeri lain ialah statusnya yang
masih bebas daripada penyakit dan mulut.
Keadaan ini bermakna eksport kambing dan produk berasaskan ternakan itu
mempunyai pasaran yang luas terutama di kalangan negara Asia Barat.
Pada masa sama, keadaan muka bumi dan alam semula jadi negeri ini
sebenarnya satu bonus kepada Sarawak jika industri ini dibangunkan
segera.
Berikutan potensi berkenaan, Menteri Pemodenan Pertanian Sarawak, Tan
Sri George Dr Chan Hong Nam bercadang untuk mewujudkan zon ternakan
kambing dalam usaha mengurangkan penggantungan negeri ini kepada daging
import yang kini mencecah RM7.5 juta setahun.
Katanya, kementerian masih mencari lokasi yang sesuai misalnya tapak
yang berdekatan pelabuhan bagi membolehkan usaha mengeksport daging pada
masa depan.
Pada masa sama, Jabatan Pertanian turut memberi bantuan kepada penternak
kambing di negeri ini termasuk khidmat nasihat mengenai aspek teknikal
penternakan, subsidi baka dan kewangan.
"Kita perlu mencari kawasan yang sesuai dan dilengkapi kemudahan asas
bagi memastikan industri ternakan kambing di negeri ini berjaya. Kita
bukan saja merancang Sarawak sebagai pengeksport daging juga pengusaha
industri hiliran misalnya penghasilan susu dan produk berasaskan
ternakan itu pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan mesyuarat Agung Pertama Persatuan Penternak Kambing Kuching/Samarahan
di sini, baru-baru ini. |
Dr Chan yang juga Menteri Pemodenan Pertanian negeri berkata, jumlah
semasa kambing di negeri ini cukup kecil berbanding dengan penduduk,
ini bermakna negeri ini terlalu bergantung dengan bekalan daging
kambing import.
"Kerajaan berharap zon ternakan kambing itu sekiranya dimajukan akan
mengurangkan masalah berkenaan, selain menjanjikan potensi cerah
Sarawak sebagai pengeksport ternakan itu terutama ke pasaran halal
di Asia Barat," katanya.
Sementara itu, Pengerusi penaja Persatuan Penternak Kambing Kuching/Samarahan,
Shamsudin Indah, menyambut baik langkah kerajaan untuk mewujudkan
zon ternak kambing bagi membolehkan penternak memberi tumpuan
ternakan kambing untuk keluaran daging dan susu bagi pasaran
tempatan dan eksport.
"Ternakan kambing mempunyai masa depan yang cerah, sekiranya
kerajaan mengambil inisiatif untuk mengembangkannya kerana untuk
mengharapkan penternak mengusahakan secara besar-besaran, ia sesuatu
yang agak sukar memandang kos untuk mendapatkan baka kambing dari
luar memerlukan kos yang tinggi.
"Memandangkan kerajaan negeri mempunyai syarat yang ketat bagi
pemilihan baka hanya dari negara yang bebas penyakit kuku dan mulut,
penternak tidak mampu untuk membeli baka kambing yang baik terutama
dari Australia yang bebas dari penyakit berkenaan," katanya ketika
ditemui di pusat ternaknya di Kampung Panchor, Serian.
Shamsudin yang mengusahakan ternak kambing dengan rakan kongsinya
sejak empat tahun lalu, kini mempunyai kira-kira 80 kambing untuk
daging dan susu.
"Kami hanya menternak lima kambing empat tahun lalu tetapi kini ia
meningkat kepada 80 kambing yang diternak secara kurung dalam
kandang yang disediakan," katanya yang akan menambah jumlah kambing
dan membina bangunan kandang baru dalam tempoh terdekat.
Mengenai persediaan untuk menternak kambing, Shamsudin berkata,
penternak perlu membuat persediaan rapi sebelum menceburi bidang
berkenaan.
Bidang itu tidak semudah yang disangkakan kerana kambing memerlukan
penjagaan rapi termasuk dari segi pemakanan dan tempat berteduh.
Penternak juga digalakkan menggunakan kaedah penternakan moden yang
menitikberatkan kebersihan, kawalan penyakit, zat makanan dan
kawalan alam sekitar.
"Sebenarnya, penternak di Sarawak bernasib baik kerana negeri ini
bebas dari penyakit kuku dan mulut berbanding negeri lain," katanya. |
Shamsudin berkata, spesies kambing yang biasa diternak penternak
ialah Boer, Jomrapari, Saanen, Anglonubien, Katjang dan biri-biri.
Katanya, kambing menjadi pilihan penduduk terutama yang ingin
melakukan ibadah korban dan aqiqah manakala susunya untuk dijadikan
ubat demam kuning bayi yang baru lahir dan asma bagi orang tua.
"Pasaran untuk daging dan susu luas di negeri ini dan Brunei
Darussalam, namun penternak tidak mampu untuk memenuhi permintaan
berkenaan kerana kesukaran untuk mendapatkan baka kambing yang
bermutu tinggi," katanya.
Beliau berkata, penternak tidak boleh membawa masuk baka kambing
untuk dibiakkan dari Semenanjung bagi mengelakkan merebaknya
penyakit kuku dan mulut.
Sehubungan itu, sebagai permulaan katanya, kerajaan perlu membantu
penternak untuk membawa masuk baka dari negara yang bebas penyakit
itu dengan harga yang berpatutan.
Sementara itu, seorang penternak, Fred Lee berkata, beliau sudah
lima tahun menceburi bidang itu dan antara masalah yang dihadapi
beliau ialah kesukaran mendapatkan baka kambing.
Katanya, penternak di negeri ini terpaksa mendapatkan baka dari luar
negeri terutama Australia, seekor kambing baka boleh mencecah harga
RM2,000.
"Masalah lain termasuk aspek pemakanan kerana tidak semua rumput dan
tumbuhan di negeri ini sesuai untuk sesetengah jenis kambing,"
katanya.
FAKTA:
Ternakan kambing
· RM7.5 juta nilai import daging kambing setahun
· 60,000 kilogram import daging setahun
· 30,000 ekor jumlah kambing diperlukan setahun
· 10,000 ekor anggaran populasi sedia ada
Potensi industri ternakan kambing
· Eksport daging dan tenusu
· Pengeluaran komestik berasaskan susu kambing
· Pembekalan baka kambing
·
Penghasilan baja berasaskan najis kambing
·
Pengeluaran makanan/pelet/rumput ternakan
|