Rakaman tular lebih 7,000 lembu dijangkiti TB tak benar

5 Mac 2018 -  PUTRAJAYA - Kenyataan bahawa 7,000 hingga 8,000 lembu di Selangor telah disingkirkan kerana dijangkiti penyakit tuberkulosis (TB) adalah tidak benar, kata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Jabatan itu berkata, hanya 11 lembu tenusu yang positif TB disingkirkan melalui kaedah eutanasia oleh DVS Selangor pada tahun ini manakala sebanyak 68 ekor disingkirkan pada 2016 dan 57 ekor pada 2017.

"Berdasarkan data bancian DVS Selangor 2016, bilangan lembu tenusu di negeri ini adalah sebanyak 5,775 ekor.

"Oleh itu, umum tidak perlu risau tentang susu dan daging yang dihasilkan. Ia selamat untuk diminum dan dimakan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

 

Jabatan itu berkata mengikut piawaian yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Dunia (OIE), ternakan dijangkiti penyakit TB tidak akan dirawat tetapi perlu disingkirkan.

DVS berkata, penyingkiran ternakan positif TB adalah sebagai langkah kawalan untuk mengelakkan penularan penyakit tersebut dan pampasan akan dibayar mengikut kadar ditetapkan.

Baru-baru ini beberapa keping gambar dan sebuah rakaman audio mengenai penyingkiran sembilan lembu tenusu dijangkiti TB oleh DVS Selangor tular di media sosial.

Rakaman audio dalam bahasa Tamil dan bahasa Inggeris itu menyatakan sebanyak 7,000 hingga 8,000 lembu di Selangor dibunuh kerana dijangkiti penyakit TB, selain menasihatkan orang ramai agar tidak meminum susu lembu.

Menurut DVS, gambar tersebut menunjukkan beberapa kakitangan DVS Selangor sedang menanam lembu tenusu yang disingkirkan mengikut prosedur digariskan dalam Protokol Veterinar Malaysia: Tuberkulosis.

Katanya, gambar yang dirakam di Sungai Nilam pada 10 Januari dan 21 Februari lalu itu  adalah prosedur dalam Program Survelan dan Kawalan Penyakit Haiwan. - Bernama