Tangani kekejaman ke atas haiwan sebagai kesalahan berat

1 OKTOBER 2018 : GEORGETOWN - Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (JPV) supaya menangani kes penderaan haiwan sama seperti menangani kes jenayah membabitkan manusia.

Presiden SAM, SM Mohamed Idris berkata, jumlah aduan mengenai kes itu meningkat sejak lima tahun yang lalu manakala JPV menerima 463 aduan kekejaman terhadap haiwan pada 2016 dan 510 aduan pada tahun berikutnya.

 

“Kekejaman terhadap haiwan bukanlah secara tidak sengaja dilakukan individu tetapi perbuatan itu sengaja dilakukan terhadap haiwan yang hidup dan oleh itu ia harus ditangani sama seperti jenayah lain seperti kes kecurian.

“Desakan untuk mengenakan hukuman penjara adalah setimpal dengan kekejaman ke atas haiwan dengan desakan semakin meningkat supaya pelaku jenayah itu dikenakan hukuman punitif sebagai pengajaran kepada orang lain daripada melakukan perbuatan itu, “ katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

 

Beliau mengulas laporan mengenai kes kekejaman terhadap haiwan baru-baru ini, termasuk kejadian seekor anjing diseret sebuah lori di Seberang Jaya dan satu kes melibatkan dua lelaki yang memasukkan seekor kucing bunting ke dalam mesin pengering dobi.

Di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2017, sesiapa yang didapati bersalah melakukan penderaan atau kekejaman ke atas haiwan boleh didenda maksimum RM100,000, atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya. - Bernama