Tingkat bekalan daging, susu

9 OKTOBER 2018, PRAI - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) yakin akan dapat meningkatkan Kadar Sara Diri (SSL) bekalan daging tempatan dan susu segar di negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayob berkata, kementeriannya dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mempunyai hala tuju dalam meningkatkan SSL daging tempatan sebanyak 23 peratus kepada 30 peratus dan susu segar daripada 58 peratus kepada 100 peratus untuk tempoh berkenaan.

 Menurutnya, sasaran itu amat praktikal dan ia akan dicapai melalui pelan tindakan yang telah disusun, selain menerusi pendekatan menambah upaya industri secara terancang.

“Ini fokus yang telah ditugaskan kepada Jabatan Veterinar dan bagi meningkatkan SSL untuk kedua-dua produk ini, kementerian sedang meneliti beberapa proposal daripada syarikat tempatan dan luar negara yang berminat dalam menjalankan perniagaan secara usaha sama.

“Selain itu, kita juga meminta Jabatan Veterinar memikirkan modul ternakan baharu membabitkan penyertaan orang-orang kampung yang boleh meningkatkan SSL ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pengembangan dan Hari Inovasi Veterinar 2018 di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam dan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Dr Afif Bahardin.

Konvensyen yang menghimpunkan pegawai-pegawai perkhidmatan veterinar daerah seluruh Malaysia merupakan acara tahunan yang dihadiri lebih 400 agen pengembangan veterinar yang terlibat di lapangan dan berdepan dengan masyarakat.

Konvensyen berkenaan juga diadakan bagi memberi latihan kepada pegawai pengembangan veterinar untuk memastikan semua mereka mendapat latihan secukupnya, menjadi lebih kreatif dan berinovasi untuk meningkatkan SSL negara.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata, beliau telah bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin, bagi membincangkan mengenai bajet 2019 untuk kementeriannya, khususnya dalam Indeks Keselamatan Makanan.

Katanya, Indeks Keselamatan Makanan perlu diberi perhatian bagi menjamin sumber bekalan makanan yang mencukupi dan berharap kerajaan akan dapat menambahkan peruntukan bagi mengekalkan bekalan sedia ada.

“Ini adalah cabaran yang perlu dilalui oleh kementerian bagi menjamin bekalan makanan mencukupi dan kita berharap kerajaan akan dapat menambah peruntukan untuk usaha ini atau mengekalkan peruntukan sedia ada seperti yang dinikmati beberapa tahun sebelum ini.

“Buat masa ini, SSL beras berjaya membekalkan sebanyak 70 peratus dan kita masih bergantung 30 peratus hasil yang diimport, namun kini kita sedang berusaha untuk meningkatkan SSL beras tempatan kepada 75 peratus dalam tempoh dua hingga tiga tahun,” katanya.

Import stok ikan

Sementara itu, pada sidang media, Salahuddin berkata, kerajaan akan mengimport stok ikan tambahan dari negara jiran bagi memastikan tidak berlaku kekurangan bekalan akibat fenomena air laut pasang yang sedang melanda negara.

Menurutnya, ketika ini bekalan ikan masih mampu memenuhi permintaan dan tidak membimbangkan.

"Pengguna tidak perlu risau kerana kerajaan telah buat persiapan berdasarkan pengalaman tahun sebelumnya. Kita akan import bekalan ikan dari negara jiran jika bekalan tidak mencukupi,” katanya.

Fenomena air laut pasang besar dijangka berlaku hari ini dengan kawasan pantai di Selangor diramal mencecah bacaan paras 5.6 meter sehingga Khamis ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya menyambut baik pandangan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang meminta kerajaan  menjatuhkan hukuman kepada pendera haiwan, sama seperti undang-undang kesalahan jenayah lain.

Katanya, kerajaan perlu kaji tuntutan itu mengikut piawaian bagi memastikan kes penderaan terhadap haiwan tidak berlaku lagi.

“Kita raikan hak mereka untuk beri pandangan dan kritikan terhadap isu ini dan kita sangat alu-alukan jika mereka (NGO) mahu bantu kita menangani isu penderaan haiwan ini,” katanya.

 

Sumber : Sinar Harian