Viral ensefalitis

ORDINAN HAIWAN 1953
(Bil. 17 Tahun 1953)
PERINTAH DI BAWAH SUBSEKSYEN 36(1)

Bahawasanya, penyakit viral ensefalitis adalah suatu penyakit yang dihidapi oleh haiwan di dalam Negeri Perak;
Dan bahawasanya, adalah perlu untuk mengawal dan membasmikan penyakit viral ensefalitis di dalam Negeri Perak;
Oleh yang demikian, saya, Tan Sri Dato' Seri (Dr.) Ramli bin Ngah Talib, Menteri Besar Negeri Perak, pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen 36(1) Ordinan Haiwan 1953 mengisytiharkan Negeri Perak sebagai suatu kawasan dijangkiti, kawasan kawalan dan kawasan pembasmian penyakit viral ensefalitis;
Dan bagi maksud itu, melarang -
(a) pemindahan haiwan atau bangkai atau mana-mana bahagiannya sama ada ke dalam atau daripada Negeri Perak atau antara mana-mana tempat di dalam Negeri Perak;
(b) penyembelihan haiwan;
(c) penjualan atau penyimpanan bangkai;
(d) penjualan, penyimpanan atau penternakan haiwan,
kecuali dengan kebenaran bertulis Pengarah Perkhidmatan Haiwan, Negeri Perak;
dan seterusnya:
(i) menghendaki penghantaran haiwan untuk pemeriksaan (termasuk pengambilan darah, susu, air kencing atau apa-apa bahan lain daripada haiwan), memvaksin, mentatu atau sebaliknya penandaan haiwan;
(ii) mengarahkan pemusnahan mana-mana haiwan yang menghidapi atau dipercayai secara munasabah telah dijangkiti atau disyaki bersentuhan dengan haiwan yang dijangkiti penyakit viral ensefalitis;
(iii) mengarahkan penutupan atau pemusnahan mana-mana premis atau struktur.

2. Perintah ini hendaklah berkuatkuasa mulai 22 Mac 1999.

Bertarikh 31st March 1999.
JPH.Pk. 1/95/8(6); PU.PK.67/71-12.]

TAN SRI DATO' SERI (DR.) RAMLI BIN NGAH TALIB,
Menteri Besar,
Perak.