Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman
Soalan Lazim
Adakah terdapat sekatan ke atas jenis-jenis haiwan yang boleh diimport?

Baka tertentu anjing tidak boleh diimport ke negara ini manakala terdapat sekatan ke atas import beberapa baka anjing lain. Sila rujuk kepada Senarai Baka Anjing Terlarang / Terhad dan syarat-syarat kelulusan pengimportan Baka Anjing Terhad.

Haiwan eksotik asal hidupan liar mungkin tertakluk kepada syarat-syarat pemuliharaan hidupan liar di bawah CITES. Sila rujuk kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara untuk maklumat lanjut.

Bagaimana saya mengimport haiwan kesayangan ke Malaysia?

Import adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan mengimport Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS). Untuk jenis haiwan dan produk-produk yang tidak disenaraikan, sila tulis kepada kami untuk peraturan-peraturan khusus.

Adakah terdapat syarat umur minimum untuk pengimportan?

Anjing dan kucing hendaklah sekurang-kurangnya berumur 3 bulan pada masa import.

Berapa banyak haiwan kesayangan yang boleh saya import?

Tidak ada sekatan ke atas bilangan haiwan yang boleh diimport oleh seseorang. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan di Malaysia mempunyai peraturan-peraturan yang berkaitan dengan bilangan anjing yang boleh disimpan di dalam premis kediaman. Ini tidak perlu (kecuali untuk baka anjing terhad) tetapi adalah dinasihatkan.

Adakah saya memerlukan Permit Import?

Anda dikehendaki untuk mendapatkan permit import daripada jabatan ini untuk mengimport haiwan kesayangan ke Malaysia. Haiwan yang tiba tanpa permit import tidak boleh dibenarkan masuk oleh pegawai-pegawai kuarantin haiwan di pintu masuk. Untuk mengimport haiwan eksotik atau hidupan liar sebagai haiwan kesayangan, anda mungkin juga perlu mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara sebelum memohon permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Di mana boleh saya dapatkan permit import?

Bagi pengimportan ke Semenanjung Malaysia, permit import hendaklah diperolehi daripada Pengarah Jabatan Veterinar Negeri atau Ketua Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Malaysia.

Bagi pengimportan ke Negeri Sabah dan Sarawak, pertanyaan dan permohonan hendaklah dibuat kepada negeri-negeri berkenaan.

Bagaimana boleh saya dapatkan permit import?

Anda perlu mengemukakan permohonan bersama-sama dengan satu salinan rekod vaksinasi semasa dan yuran permit import berjumlah lima Ringgit Malaysia (RM 5.00) bagi setiap anjing / kucing. Bayaran ini boleh dibayar secara tunai atau melalui bank draf, kiriman wang atau wang pos, yang dibayar kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia atau Pengarah Negeri yang berkenaan. Pemohon di luar negara boleh mengemukakan permohonan melalui pos atau melalui wakil tempatan (rakan, saudara atau ejen di Malaysia).

Berapakah tempoh untuk mendapatkan permit import?

Permit dikeluarkan dalam masa sehari.

Apakah tempoh sah permit import?

Permit import adalah sah selama 30 hari dari tarikh dikeluarkan.

Apakah syarat-syarat dan prosedur semasa pengimportan sebenar?

Import adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan mengimport Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS).

Adakah saya perlu memberitahu pegawai di pintu masuk mengenai kedatangan haiwan peliharaan saya?

Haiwan peliharaan hanya boleh diimport sebagai kargo pengiriman dan hendaklah diisytiharkan kepada Pegawai Kuarantin Haiwan di tempat pendaratan untuk pelepasan masuk.

Walaupun tidak diwajibkan, tetapi adalah baik untuk memaklumkan kepada Pegawai Kuarantin Haiwan di pintu masuk (lihat senarai pintu masuk) berkenaan dengan maklumat anggaran waktu ketibaan dan maklumat penerbangan untuk pelepasan masuk lebih cepat.

Apakah yang akan berlaku jika sewaktu mengimport, saya tidak mematuhi peraturan-peraturan dan prosedur?

Haiwan peliharaan mungkin  tidak dibenarkan masuk atau tertakluk kepada apa-apa tindakan yang difikirkan sesuai oleh Pegawai Kuarantin Haiwan.

Adakah terdapat sekatan di pintu masuk?

Untuk kelulusan kemasukan, haiwan peliharaan mesti mendarat hanya di pintu masuk yang dinyatakan dalam permit import. Haiwan peliharaan yang memerlukan kuarantin hanya boleh mendarat di KLIA, Pulau Pinang atau Padang Besar di mana kemudahan kuarantin disediakan.

Bolehkah haiwan peliharaan saya transit di pintu masuk lain di Malaysia?

Haiwan peliharaan adalah diperlukan untuk mendarat dan diluluskan masuk di pintu masuk yang dinyatakan dalam permit import. Transit haiwan peliharaan di tempat-tempat kemasukan lain tidak dibenarkan tanpa kebenaran oleh pegawai Kuarantin Haiwan di pintu masuk yang ditetapkan.

Adakah terdapat caj yang dikenakan untuk pelepasan masuk?

Selain daripada caj Kastam, kemasukan haiwan peliharaan adalah tertakluk kepada caj pemeriksaan veterinar.

Apakah dokumen yang diperlukan untuk pelepasan di pintu masuk?

Salinan asal permit import, sijil kesihatan daripada pihak berkuasa veterinar negara pengeksport dan kelulusan CITES (jika perlu) hendaklah dikemukakan kepada Pegawai Kuarantin Haiwan untuk pelepasan. Semua dokumen hendaklah dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.

Apakah tempoh sah sijil kesihatan?

Sijil Kesihatan Veterinar hendaklah bertarikh dalam tempoh 7 hari eksport kecuali dinyatakan sebaliknya dalam peraturan import.

Adakah apa-apa masalah sekiranya saya tidak melakukan perjalanan bersama dengan haiwan peliharaan saya?

Haiwan peliharaan juga boleh dibawa masuk bersendirian tanpa pemilik atau individu. Seorang wakil tempatan (rakan, saudara atau ejen di Malaysia) boleh dilantik oleh pemilik untuk mengendalikan pemeriksaan di pintu masuk dan hal-hal berkaitan dengan kuarantin.

Adakah haiwan peliharaan saya tertakluk kepada kuarantin dan berapa lamakah tempoh kuarantin?

Anjing dan kucing dari United Kingdom, Republik Ireland, Sweden, Australia, New Zealand, Jepun, Brunei dan Singapura tidak tertakluk kepada syarat kuarantin dengan syarat haiwan itu sihat dan semua dokumen adalah lengkap. Anjing dan kucing dari negara-negara lain adalah tertakluk kepada kuarantin sekurang-kurangnya 7 hari.

Pintu-pintu masuk yang manakah disediakan dengan kemudahan kuarantin?

Kemudahan kuarantin untuk anjing dan kucing disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Padang Besar (Sempadan Perlis-Thailand).

Adakah saya perlu membuat tempahan kuarantin untuk haiwan peliharaan saya?

Untuk haiwan peliharaan yang mesti dikuarantin, permit import hendaklah dikeluarkan hanya selepas pengesahan ruang kuarantin yang ditentukan oleh Stesen Kuarantin Haiwan berkenaan. Oleh itu apabila permit import dikeluarkan, ini bermakna kuarantin dikhaskan untuk ketibaan.

Bagaimana boleh saya membawa haiwan peliharaan saya ke stesen kuarantin?

Pegawai Kuarantin Haiwan di pintu masuk akan membantu dalam pengangkutan haiwan ke stesen kuarantin.

Bolehkah saya melawat peliharaan saya semasa kuarantin?

Ya, pemilik dan sesiapa yang diberi kuasa olehnya dibenarkan untuk melawat haiwan setiap hari pada jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang. Bagaimanapun, pengunjung dinasihatkan supaya mematuhi segala undang-undang dan peraturan-peraturan stesyen kuarantin sepenuhnya.

Berapakah caj kuarantin?

Caj kuarantin untuk anjing dan kucing adalah lebih kurang RM 79.00 dan RM 72.00 masing-masing setiap minggu. Caj ini tidak termasuk makanan dan kos-kos rawatan yang mungkin diperlukan.

logo-footer
  • JALAN SULTAN AZLAN SHAH (U),
    31400 IPOH, PERAK DARUL RIDZUAN

  • 05-5459111, 05-5459122, 05-5459133

  • 05-5472561, 05-5482712

  • This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Hakcipta Terpelihara © 2021 Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak. Kemaskini : 12/03/24 • Jumlah Pelawat : 21286928